Saturday, July 2, 2011

Santai Retro Port Dickson 2011



Oleh kerana komitmen kepada Majalah By’U, aku agak ralat kerana kedua kalinya tidak dapat menghadiri event yang menjadi impian aku sejak tahun lepas ni. Minta maaf kepada Kak Fiza kerana tidak dapat menolong pada hari tersebut. Sangat ralat, namun apakan daya, komitmen kerja perlu diutamakan. Namun, di atas pertolongan rakan-rakan RMR, Alhamdulillah aku dapat juga ‘review’ event grand yang menjadi event tahunan ni. Siapa Azura? Kenapa ia mengamuk di Port Dickson? Untuk mengetahui lebih lanjut, jom ikuti cerita aku ni selanjutnya.

Sudah sedia maklum, dengan jarak hanya 10km ke selatan bandar Port Dickson, kawasan perkelahan ini sangat popular di kalangan penduduk tempatan khususnya dan penduduk di sekitar Lembah Klang sebagai salah satu tempat beriadah pada hujung minggu. Pantai Teluk Kemang yang terletak di Port Dickson Negeri Sembilan tiba-tiba dihujani deruman bunyi bising ribuan jentera retro dari seluruh Malaysia untuk menghadiri satu acara tahunan anjuran bersama Kelab Retro Malaysian Riders (RMR) iaitu Santai Retro 2011.



Ini bukanlah satu perkara luar biasa kerana Santai Retro adalah acara tahunan yang sangat mendapat tempat di hati para ‘penggila’ & peminat jentera retro di seluruh pelusuk negeri Malaysia . Bak kata seorang rakan aku, “kalau sebut je bulan April pasti teringatkan Karnival Vespa, Lambrett, Motor Klasik, Mini & Wolkswagen Antarabangsa di Kuala Kangsar, tapi kalau sebut bulan Mei pula, pasti ingat acara Santai Retro di Port Dickson”.

Walaupun jentera-jentera ini sudah pun berusia lebih dari 20 tahun, namun jentera-jentera ini terus disanjung dan diminati oleh masyarakat lebih-lebih lagi kepada anak-anak muda yang ingin mencari kelainan. Memang tabik spring la kat mereka yang masih menyimpan dan memiliki jentera-jentera rare ni. Bukan senang nak simpan dan memiliki jentera-jentera yang boleh dikatakan rare ni sebab jentera retro ni kebanyakkan sudah berusia 20 tahun lebih. Kalau korang masih ingat cerita drama atau filem ketika zaman Jamal Abdillah atau zaman Ali Setan, korang pasti perasan tentang jentera-jentera retro ni kan?



Acara anjuran bersama kelab RMR ini adalah suatu perjumpaan tahunan bagi pemilik-pemilik jentera retro dan tahun ini adalah tahun ketiga penganjurannya. Jika tahun lepas lebih dari 2,000 motosikal retro yang hadir, kali ini dilihat semakin meningkat dari tahun lepas. Dari sumber yang diberitahu, walaupun pihak penganjur sudah menyediakan parking untuk setiap kategori motosikal, namun oleh kerana terlalu ramai, maka ramai yang terpaksa meletakkan motosikal mereka di kawasan dataran, tepi pantai, tepi jalan raya dan ruang lapang di persekitaran kawasan acara. Cuba korang bayangkan kawasan Dataran Teluk Kemang tu yang dipenuhi oleh jentera-jentera retro ni. Sampai penuh parking, sampai ada yang tak dapat parking kat kawasan yang telah di sediakan. Wow! Syabas kepada pihak penganjur dan juga kelab RMR.



Kalau korang nak tau lagi, acara tahunan ini telah mengumpulkan pelbagai jenis motosikal retro yang ada antaranya sudah jarang dilihat di atas jalan raya Malaysia ini antaranya, GPZ Katana, VT250, Yamaha RXS, RD250LC, RD350LC, RZ250R, RX100, Suzuki RGF, Panther, GT185, GT250, TS100, GSX250, X7, TRS, Honda Raider, NSR, NSRR, Kawasaki R125, KR, KRZ dan pelbagai model retro dari pelbagai jenama.

Menariknya lagi, acara tahunan ini mendapat perhatian daripada peminat-peminat jentera retro di seluruh pelusuk Malaysia. Kebanyakkan mereka yang datang dari jauh akan datang berkonvoi sehari sebelum acara bermula dan bagi yang berada berdekatan pula akan berkonvoi di awal pagi hari. Memang meriah. Ada yang datang jauh dari Kelantan, Terengganu, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan pelbagai negeri lagi di seluruh Malaysia.

Jika di awal penganjuran event grand ini hanya dikhaskan kepada para pemilik jentera retro sahaja, namun bermula pada tahun lepas, event ini telah memberi kelonggaran kepada semua jenis, model motosikal tidak kira baru atau lama untuk turut serta dan support event ini. So, korang bukan sahaja boleh tengok jentera retro, namun juga pelbagai jenis motosikal baru dan lama di sini especially supporter tegar iaitu Kelab EX5 iaitu Kelab C.O.E.

So, kepada penganjur serta Kelab Retro Malaysian Riders, syabas! Memang grand event ni. Aku harap event tahunan ini akan menjadi satu lagi event yang setaraf dengan event seperti di Pattaya BikeWeek. Jika korang ada persoalan yang ingin dipanjangkan atau ingin mendapat informasi lebih lanjut mengenai event mahupun kelab Retro Malaysian Riders ni, korang boleh usha maklumat-maklumat di bawah ini.

Forum : http://azuramengamuk.activeboard.com/
Facebook : Retro Malaysian Riders

Nota Aku: Jika panjang umur, murah rezeki, aku sangat berharap tahun hadapan akan dapat join event ni! Pergghhh...syahdu je aku rasa bila dah dua tahun tak dapat join event grand ni....sob...sob...sob...


*****Articles Copyright © 2011 (Astarawistana Momoi) & Pictures (Nur Hidayah Bt Mohd Daris) are All Rights Reserved. Use of words & photographs in any manner without permission are prohibited by International copyright law. Your Cooperation is highly appreciated~ ;) *****

No comments:

Post a Comment

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers